3 0
Read Time:2 Minute, 36 Second

Antara penginapan yang aku suka tempah apabila ke Korea Selatan ialah homestay, atau istilah yang lebih tepat ialah “guesthouse“.

Tempahan guesthouse ini paling mudah dibuat melalui AirBnB. Jujur cakap, seharusnya semua pemilik homestay perlu ada akaun dalam AirBnB kerana ia dapat diakses dari seluruh dunia. Tak kiralah sama ada homestay itu terletak di dalam taman perumahan mahupun Felda.

Aku mahu kongsikan ciri-ciri bagus guesthouse Korea yang boleh ditiru oleh pemilik homestay di Malaysia.

1. Peralatan lengkap umpama rumah sendiri

Peralatan asas yang ada di setiap guesthouse Korea:

  • WiFi
  • TV
  • Extension wire yang banyak (ikut kapasiti penginap)
  • Dapur
  • Peralatan asas memasak (kuali, periuk, senduk sudip, pinggan mangkuk, sudu garfu, gelas, jag dll)
  • Cerek elektrik
  • Peti sejuk
  • Mesin basuh
  • Penyidai / ampaian / hanger
  • Selipar dalam rumah
  • Pendingin udara
  • Pemanas lantai (ini sebab negara 4 musim)
  • Pemanas air (water heater)
  • Tisu tandas
  • Sabun mandi dan syampu
  • Tuala (tuala kecil, tetapi banyak dan boleh guna dua helai sehari)
  • Selipar bilik air
  • Pengering rambut
  • Jam dinding yang berfungsi
  • Vakum, penyapu, penyodok
  • Plastik sampah
  • Semua perabot cantik, kemas, dan tidak berbau

2. Maklumat lengkap melalui e-mel dan juga dicetak dan diletakkan di dalam rumah

  • Cara untuk ke guesthouse selain send location WhatsApp, lengkap dengan peta dan gambar-gambar laluan sampai ke depan pintu rumah termasuk landmark yang akan ditemui di sepanjang perjalanan
  • Senarai pengangkutan awam yang berdekatan – nombor dan destinasi
  • Senarai maklumat sewa kenderaan
  • Senarai tarikan pelancongan berhampiran + cara untuk ke situ
  • Senarai cadangan aktiviti menarik yang boleh dibuat
  • Senarai kemudahan di sekitar kawasan rumah berserta peta lokasi (kedai serbaneka, dobi, kafe, restoran, dsb)
  • Cara menggunakan peralatan elektrik di dalam rumah
  • Pantang larang; seperti jangan buat bising selepas jam 10.00 malam
  • Peraturan rumah; matikan suis pemanas sebelum keluar rumah, panduan membuang / mengasingkan sampah, lokasi untuk menjemur pakaian (jika rumah sangat kecil), cara check in dan check out, dll.
  • Nombor kecemasan untuk dihubungi

3. Layanan baik dan teratur

  • Majoriti orang Korea tidaklah begitu fasih berbahasa Inggeris, tetapi mereka sangat berusaha untuk berkomunikasi dalam bahasa itu dengan pelanggan – walaupun ada kalanya ketara diambil daripada apps terjemahan. Tak apa, yang penting maksud sampai.
  • Hos akan hubungi pelanggan melalui WhatsApp dalam seminggu ke tiga hari sebelum tarikh check in untuk pengesahan kehadiran, memperkenalkan diri, menghantar maklumat lokasi rumah, dan bersedia menjawab sebarang pertanyaan.
  • Hos sentiasa bersedia dihubungi sepanjang tempoh penginapan. Amat jarang hos gagal dihubungi ataupun terlalu lewat balas mesej pelanggan.
  • Sistem check in dan check out guesthouse di Korea mudah kerana selain menetapkan waktu khusus seperti hotel, ada kalanya pelanggan tidak perlu bertemu dengan hos pun. Ini disebabkan mereka telah memberi maklumat lokasi yang cukup lengkap, dan pintu rumah pula menggunakan kunci elektronik (kombinasi). Hos hanya perlu beri kod nombor dan pelanggan boleh masuk sendiri. Barang kali kunci elektronik begini kurang efektif di Malaysia terutama untuk homestay yang bukan apartmen. Tetapi masih boleh contohi penetapan waktu check in dan check out, serta maklumat lokasi lengkap, demi kemudahan kedua-dua pihak.

Aku percaya homestay di Malaysia pun boleh berikan servis sebaik Korea kepada pelanggan. Apabila disenaraikan di platform seperti AirBnB, homestay kita akan mendapat rating daripada pelanggan dan ini akan menambah keyakinan orang lain untuk memilih homestay kita sebagai tempat menginap.

Mampu lakukan semua ini? Korea mampu, kita juga tentu mampu!

About Post Author

Azzah AR

She is a travel writer, a pro Google searcher, an avid K-Fan, and a real tsundoku. Her KPI for travelling is one destination per month - locally or internationally, as long as she can go out at least 90 km from her residence. If she failed to achieve it, she will instantly feels old. So currently she feels old because of the pandemic. Sad.
Happy
Happy
80 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
20 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *