5 0
Read Time:5 Minute, 20 Second

Antara yang aku suka tengok di negara orang ialah kedai kopi.

Kebanyakan kedai kopi di luar negara simple tetapi berkonsep. Di Korea Selatan, ada banyak kedai kopi dengan buku (book cafe) dan ada banyak kedai kopi dengan konsep comel. Di Indonesia pula, jika di Jakarta kedai kopi lebih moden, manakala di provinsi lain seperti Belitung, banyak warung kopi. Tetapi kedua-dua kategori kedai di Indonesia ini mempunyai konsep yang sangat memikat.

Korea Selatan

1. Kedai Kopi Di Bucu Bangunan

Kedai kopi Black Drip di Gangnam. Foto: Google Streetview.

Salah satu kedai kopi yang menarik perhatian aku ialah Black Drip di Gangnam. Kecil saja, di bucu bangunan. Tak ada tempat untuk duduk mengopi pun, semua “take out” (istilah orang Korea sebut untuk “takeaway“).

Tapi, walaupun semua pelanggan take out, dekorasi interior kedai comel ini tetap diambil berat. Jadi, sambil tunggu barista siapkan kopi, kita boleh menikmati keunikan bahagian dalam kedai dan sesekali memerhati dia menyeduh kopi.

Interior kedai Black Drip.

Dan paling istimewa, coffee cup sleeve kedai ini dituliskan puisi oleh si barista. Ya, ditulis sendiri di depan pelanggan. Sangat wow!

Puisi tulisan tangan barista Black Drip.

Walaupun “terpaksa” tunggu dia selesai menulis, tetapi hasilnya sangat membahagiakan. Aku tak faham pun puisi tu, tulisan tangannya pun sukar dibaca. Mujur ada kawan Korea dapat baca dan terjemahkan. Nice!

Setiap manusia merasai kesepian.
Setiap manusia merasai kesulitan.
Meskipun demikian,
perasaan-perasaan itu disembunyikan. 

• Terjemahan: Cho Yuna
• Suntingan: Azzah AR

2. Kafe Buku

Korea Selatan memang terkenal sebagai antara negara yang meraikan buku. Dalam K-Drama banyak ditampilkan babak dengan buku, perpustakaan, kedai buku, malah di setiap rumah watak utama pasti ditunjukkan ada buku bersusun. Tidak hairanlah wujud banyak kafe buku di negara ini. Sambil mengopi, boleh membaca buku.

Selain kafe buku, kedai-kedai buku juga tidak ketinggalan menyediakan kafe di dalam premis mereka, terutama kedai yang besar. Bagi peminat buku, jika penat membelek buku yang banyak, mereka boleh berehat seketika dengan mengopi di kafe di dalam kedai itu. Ibaratnya di tanah Hangeul itu, kopi dan buku bersahabat baik.


Indonesia

Menarik, unik, dan istimewanya kedai-kedai kopi @ warkop (warung kopi) di Indonesia, ialah pada konsep yang kebanyakannya menggunakan kata-kata falsafah yang menusuk dan selalu juga kelakar. Mereka juga tidak heboh untuk menggunakan kopi Barat, sebaliknya berbangga menampilkan seduhan biji kopi tempatan dan dibancuh dengan ramuan tempatan antaranya gula aren (gula merah / gula Melaka). Lebih menarik lagi, warkop di kawasan kampung pun bukan main konsepnya!

  1. Kopi Kenangan (Jakarta)

Nama kedai saja dah cukup menarik perhatian. Kopi Kenangan ada beberapa outlet di sekitar Jakarta, dan konsepnya memanglah 100% mengimbau kenangan bersama mantan … uhuk!

2. Filosofi Kopi (Jakarta)

Kedai kopi daripada novel Dee Lestari dan juga filem berjudul serupa ini terletak di Blok M. Kecil sahaja kedainya, tetapi interior penuh seni memang buat rasa nak melepak lama di sini.

3. Kopi Lain Hati (Jakarta)

Ini satu lagi rangkaian kedai kopi di Jakarta. Dia main hati pula.

4. Kupi Kuli (Belitung)

Peminat novel tetralogi Laskar Pelangi dan juga novel-novel Andrea Hirata yang lain pastinya familiar dengan nama Warung Kopi Usah Kau Kenang Lagi, Warung Kopi Maryati Kawin Lagi, dan Warung Kupi Kuli. Aku hanya jumpa Kupi Kuli di Gantung. Dan wujudnya warung ini memang disebabkan karya beliau. Lokasinya pun di dalam Museum Kata Andrea Hirata. Inilah warkop tempat melepak dengan teman-teman setiap kali aku ke Belitung. Sambil lihat museum, sambil nongkrong, sambil ngupi, sambil dengar musik, dan sambil-sambil yang lain.

Aku bias sikit pada Kupi Kuli sebab aku peminat karya-karya Bang Andrea Hirata. Jadi, aku cerita lebih sikit tentang warung ini.

Kenapa namanya “Kupi Kuli”?

Dulu, orang Melayu Belitung bekerja sebagai kuli di perusahaan timah yang dikuasai oleh penjajah Belanda. Disebabkan perlu bekerja keras setiap hari, maka setiap pagi selepas Subuh, mereka akan ngupi dulu di warkop sebelum masuk kerja untuk dapatkan tenaga.

Di warkop jugalah kuli-kuli timah ini melepaskan lelah, berjumpa kawan-kawan, dan bercerita. Kata Bang Andrea, orang Belitung adalah storyteller yang genius. Pergilah duduk di warkop dan dengar, ada saja cerita yang akan mereka sampaikan, sambil main catur. Catur betul ya, bukan dam haji ataupun dam ular.

Aku nampak, ini menyamai aktiviti orang Melayu Malaysia di kampung-kampung. Cuma di negara kita, teh tarik lebih popular di warung berbanding kopi. Mereka mengopi, kita mengeteh. Menarik sungguh dapat mengenali persamaan dan perbezaan gaya hidup bangsa Melayu berlainan lokasi begini.

Bersama Bang Andrea di Kupi Kuli ciptaannya. Foto: Sab.

5. Warung 1001 Kopi (Belitung)

Lokasinya di tepi jalan besar yang menghubungkan Gantung dan Manggar. Di pulau yang sememangnya dikenali sebagai Negeri 1000 Warung Kopi ini, di mana-mana saja ada warkop.

Secara peribadi, aku rasa Warung 1001 Kopi adalah yang paling hip setakat ini di Belitung. Tak ada dinding yang terlepas daripada mural kata-kata menarik di sini.

6. Kedai Kopi Kong Djie (Belitung)

Inilah kopi paling sedap bagi aku di Belitung. Warkopnya pun banyak, dengan macam-macam konsep serta menu. Rasa-rasanya, mungkin aku telah ke enam ataupun tujuh outlet Kong Djie di sekitar Belitung. Memang tak sah kalau ke Belitung, tak mengopi di Kong Djie!


Kalau nak senaraikan semua kedai kopi yang pernah aku kunjungi di setiap negara, memang tak muat di sini. Cuma harapnya dengan perkongsian tentang kedai kopi di dua negara ini, sedikit sebanyak dapat bantu kalian yang berhasrat menceburi bisnes kedai kopi untuk mendapatkan idea konsep warkop masing-masing.

Tak semestinya perlukan ruang kedai luas, biji kopi mahal, atapun lokasi di tengah bandar baru boleh buat warkop berkonsep, lawa dan bergaya. Segala yang bersifat tempatan pun okey. Lagi pelancong suka!

About Post Author

Azzah AR

She is a travel writer, a pro Google searcher, an avid K-Fan, and a real tsundoku. Her KPI for travelling is one destination per month - locally or internationally, as long as she can go out at least 90 km from her residence. If she failed to achieve it, she will instantly feels old. So currently she feels old because of the pandemic. Sad.
Happy
Happy
100 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published.